KUALA LUMPUR: Enjin carian Internet popular, Google hari ini memberikan penghormatan kepada lagenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari menerusi paparan 'doodle' khas sempena ulang tahun kelahiran ke-61 pemain kebanggaan negara itu.
Beliau dilahirkan pada 13 November 1953.
Google sebelum ini pernah menggunakan 'doodle' merujuk perkara penting dan hari istimewa yang dikongsi menerusi laman utama enjin cariannya.
Mokhtar atau mesra digelar SuperMokh adalah antara wira bola sepak terkenal mewakili pasukan Kebangsaan sejak tahun 1972 hingga 1985 dan menjadi salah seorang pemain terbaik Asia sepanjang kariernya ketika itu.
Semasa era kegemilangannnya, beliau banyak membantu pasukan Malaysia mencatat sejarah terbaik antaranya berjaya menewaskan pasukan Korea Selatan dan Jepun.
Jaringan terbaik beliau sepanjang karier yang menjadi sebutan ramai peminat bola sepak negara adalah ketika perlawanan Malaysia menentang England pada tahun 1978.
Beliau berjaya menjaringkan gol penyamaan sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan seri,1-1.
Begitu juga, ketika Mokhtar berjabat tangan dengan pemain legenda dunia, Diego Maradona sebelum perlawanan persahabatan dengan pasukan Boca Juniors menjadi kenangan manis yang tidak dilupakan peminat bola sepak tanah air.
Mokhtar kemudian membuat keputusan bersara pada tahun 1986 yang ketika itu mengumpul jumlah jaringan gol sebanyak 320 sepanjang kariernya sebelum membuat kemunculan sementara bersama pasukan Selangor pada tahun 1987.
Menurut dokumentari ‘The Untold Truth About Supermokh’ yang disiarkan di saluran National Geographic pada tahun 2010, Mokhtar meninggal dunia pada 11 Julai 1991 pada usia 38 tahun akibat penyakit distrofi otot.
Sumber MD