TERKINI MH17:
Update dari masa kesemasa
Ribuan nyawa hilang kes pesawat ditembak jatuh
KUALA LUMPUR - Berikut ialah senarai pesawat penerbangan komersial utama yang ditembak jatuh sejak 40 tahun lalu:
* 21 Februari, 1973: Pesawat 114 Penerbangan Libya dari Tripoli ke Kaherah ditembak jatuh di Semenanjung Sinai oleh jet pejuang F-4 Phantom II Israel, mengorbankan 113 orang di dalam pesawat.
* 1 September 1, 1983: Sejumlah 269 penumpang dan kru pesawat 007 Penerbangan Korea terbunuh selepas pesawat ditembak jatuh oleh pesawat pejuang Su-15TM Soviet berhampiran Pulau Moneron, barat Pulau Sakhalin Island, di Laut Jepun. Pesawat dalam penerbangan dari Anchorage ke Seoul.
* 3 Julai, 1988: Sebanyak 290 penumpang dan kru Pesawat 655 Penerbangan Iran terbunuh selepas pesawat ditembak jatuh peluru berpandu kapal Tentera Laut Amerika Syarikat USS Vincennes. Serangan berlaku di ruang udara Iran, di kawasan perairan Iran Teluk Parsi. Pesawat dalam penerbangan dari Tehran ke Dubai.
* 29 September, 1998: Pesawat Lionair LN 602 yang dikendalikan Antonov An-24RV terjatuh ke dalam laut di pantai barat laut Sri Lanka dalam keadaan misteri, membunuh 47 penumpang dan kru. Namun sesetengah laporan menyebut ia ditembak oleh pemberontak Pembebasan Harimau Tamil Eelam.
* 17 Julai, 2014: Pesawat MH17 Malaysia Airlines, dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dipercayai ditembak jatuh di Ukraine. Sejumlah 298 orang berada di dalam pesawat. - Bernama
Belum tahu punca tragedi
Sepang: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan setakat ini masih belum dapat mengesahkan punca Penerbangan Malaysia MH17 terhempas.
Menurutnya, jika benar pesawat itu ditembak jatuh, pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.
"Saya sudah berhubung dengan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
"Presiden Ukraine mengesahkan akan berbincang dengan pihak terbabit supaya bantuan dapat disalurkan di tempat kejadian," katanya ketika ditemui dalam sidang media di Hotel Sama-Sama, Sepang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (tengah) bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri) dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ketika mengadakan sidang media khas berhubung insiden pesawat MAS MH17 yang terhempas di Ukraine. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Katanya, kejadian ini disifatkan sebagai tragik khususnya kepada rakyat negara ini.
"Penumpang MH17 terdiri dari pelbagai warganegara," katanya.
Penerbangan MH17 dilaporkan terhempas di sebuah kawasan tegang di Ukraine berhampiran sempadan Rusia kira-kira jam 12.15 waktu tempatan Amsterdam.
Pesawat Boeing 777 yang membawa seramai 280 penumpang dan 15 anak kapal itu adalah dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Penerbangan itu dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 6.10 pagi Jumaat.
PEJUANG JIHAD - SUKAR KENAL PASTI PESAWAT DI RUANG UDARA DINEGARA BERGOLAK
PETALING JAYA: Adalah sukar bagi kumpulan militan untuk mengenal pasti sama ada pesawat yang terbang di ruang udara negara bergolak adalah pesawat komersial atau tentera.
Ahmad Salman Abdul Rahim, salah seorang pejuang jihad warganegara Malaysia di Syria berkata, pesawat komersial berhadapan risiko besar kerana kumpulan militan tidak mempunyai peralatan radar dan teknologi canggih untuk mengenal pasti sama ada sasaran di udara adalah 'musuh atau sebaliknya'.
"Di ruang udara Syria misalnya, pesawat komersial dibenarkan melalui ruang udara walaupun negara itu dalam konflik perang.
"Kadang-kala, berlaku salah faham di antara kami, fikirkan ia adalah pesawat lawan, tetapi apabila ditenung ia sebenarnya pesawat komersial," katanya dalam laman Facebooknya berikutan insiden pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine pada Khamis.
Merujuk kepada nasib penumpang dalam pesawat MH17 yang dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah pro Rusia, Ahmad Salman berkata, pihak yang berperang boleh menuding jari antara satu sama lain sekiranya kejadian tidak diingini berlaku.
"Ini adalah realiti yang menimbulkan risiko besar terhadap keselamatan pesawat komersial. Adakah tiada laluan alternatif untuk pesawat komersial?," tulisnya.
Ahmad Salman turut menyuarakan rasa terkejut mengenai insiden itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang dan anak kapal MH17.
"Moga kita belajar sesuatu yang amat berharga dari musibah ini," katanya.
Pesawat MH17 membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal. Ia yang berlepas dari Amsterdam dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada 6.10 pagi (waktu tempatan Malaysia) pagi Jumaat.
MAS Sahkan 298 Naiki Pesawat MH17
PETALING JAYA: Syarikat penerbangan Malaysia (MAS) pada Jumaat mengesahkan terdapat kira-kira 298 penumpang termasuk anak kapal berada di dalam pesawat MH17 dan bukannya, 295 seperti yang dilaporkan sebelum ini.
MAS menjelaskan bertentangan dengan kenyataan sebelum ini, penerbangan itu membawa 283 penumpang termasuk tiga bayi dari pelbagai negara dan 15 anak kapal warganegara Malaysia.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan sebelum ini berkata bahawa pesawat malang penerbangan MH17 itu membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal.
Warganegara beberapa penumpang masih belum dikenal pasti. Senarai penumpang dan anak kapal mengikut negara adalah seperti berikut:
Belanda - 154
Malaysia - 43 (termasuk 15 kru dan dua bayi)
Australia - 27
Indonesia - 12 (termasuk seorang bayi)
United Kingdom - 9
Jerman - 4
Belgium - 4
Filipina - 3
Kanada - 1
Belum dikenal pasti - 41
MAS kini dalam proses memaklumkan kesemua ahli keluarga penumpang dan anak kapal.
Fokus utama syarikat penerbangan itu adalah bekerjasama dengan pasukan kecemasan dan pihak berkuasa serta menggerakkan sistem sokongan penuh untuk menyediakan semua keperluan kepada ahli keluarga mangsa.
MAS akan menggerakkan 'Go Team' ke Amsterdam dengan sekumpulan penjaga dan sukarelawan untuk membantu ahli keluarga penumpang.
MAS mengesahkan pesawat itu tidak membuat panggilan kecemasan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu ditembak jatuh.
Malaysia Airlines juga menggerakkan "Go Team" ke Amsterdam dengan sekumpulan penjaga dan sukarelawan membantu anggota keluarga penumpang.
"Doa dan harapan kami bersama dengan penumpang dan anak kapal yang terlibat dan anggota keluarga mereka," menurut kenyataan itu.
Syarikat itu akan menyediakan perkembangan terkini berhubung keadaan itu.
Anggota keluarga penumpang dan anak kapal boleh menghubungi talian +603 7884 1234 (Malaysia) atau +31703487770 (Netherlands).
GAMBAR: KLIK UNTUK SIZE BESAR