KOTA KINABALU: Seorang anggota polis yang dipercayai mempunyai masalah mental ditahan kerana mencuri kenderaan yang terdapat seorang kanak-kanak berusia lima tahun di dalamnya di Sandakan semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, anggota polis yang berasal dari negeri ini dan bertugas di Negeri Sembilan ditahan kira-kira 1 pagi di sekitar Sandakan bersama kenderaan dan kanak-kanak itu.
"Polis akan merujuk dengan hospital pakar jiwa untuk mengesan identiti anggota itu yang pulang bercuti, kerana mangsa didapati kurang siuman ketika tangkapan ke atasnya dilakukan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program menderma darah anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia di Kompleks Karamunsing di sini hari ini.
Anggota tersebut disiasat atas tuduhan mencuri kenderaan dan menculik.
Menurut laporan sebelum ini, pada Ahad lepas seorang wanita yang juga penyelia sebuah ladang telah meninggalkan adik iparnya itu di dalam kenderaannya Toyota Vigo di Kampung Bagiang, Kunak dengan enjinnya masih hidup serta pintu tidak berkunci, sebelum dilarikan anggota terbabit.
Sumber: Bernama