APA LEBIHNYA WARGA ASING?

Ramai yang menyalahkan bekas banduan atau bekas penjenayah apabila berlakunya jenayah yang melibatkan segelintir daripada mereka yang tidak insaf. Bak kata pepatah, hanya kerana setitik nila... habis rosak susu sebelanga!!

Akibatnya, bekas banduan atau mereka yang mempunyai rekod jenayah dinafikan hak mereka untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan. Empunya syarikat keselamatan juga sudah mula mengiklankan jawatan tersebut di akhbar dengan meletakkan syarat tidak mempunyai rekod jenayah lantaran dimomokkan dengan pelbagai andaian yang menakutkan!

Bila begitu, mereka akhirnya jadi bimbang mahu mengambil bekas banduan atau bekas penjenayah bekerja lantaran berlakunya beberapa kes 'harapkan pagar, pagar makan padi'. Namun apa yang mereka tidak ketahui, orang yang tidak mempunyai rekod jenayah juga makin ramai yang tidak boleh dipercayai dan melakukan jenayah lebih kejam. Ini kerana, rekod bersih sebenarnya bukan jaminan jenayah tidak boleh berlaku!

Ekoran galakan orang atasan juga, makin ramai majikan yang terpaksa mengambil warga asing untuk menjadi pengawal keselamatan. Kata manis yang disuapkan pada majikan itu, warga asing lebih rajin, setia dan amanah berbanding warga tempatan.

Benarkah begitu? Apakah mereka dapat memberi jaminan bahawa warga asing tersebut bersih rekodnya di negara mereka sendiri??

Atau mungkin mereka yang diupah itu merupakan seorang perompak, pembunuh atau penjenayah yang mengelak diri selepas melakukan jenayah di negara sendiri? Jadi apakah bezanya warga asing tersebut dengan bekas banduan atau bekas penjenayah negara ini yang sebilangan besarnya sudah insaf dan mahu memulakan hidup baru?

Wajarkah peluang bekas penjenayah ini kita sekat semata-mata kerena rekod lampau mereka? Apakah kita lebih rela melihat mereka kembali melakukan jenayah daripada memberi peluang untuk mereka berubah? Tepuk dada... tanya selera!



Pengawal keselamatan warga asing bebas bekerja di negara ini...



Alangkah bertuahnya mereka berbanding warganegara sendiri...



Beruk di hutan disusukan... anak di rumah mati kelaparan!!

.
.